Salam sejahtera.

Pada 17 Ogos 2011, kursus kami diteruskan dengan penjelasan beberapa teori emosi serta konsep emosi dan motivasi. Teori yang dimaksudkan ialah teori-teori fisiologikal, kognitif dan psikoanalitik. Teori-teori ini menerangkan bagaimana pengalaman itu dialami.

Walaupun teori-teori yang dipelajari sebelum ini menerangkan sebahagian besar konsep emosi, namun teori seperti teori evolusi (“Evolutionary Theory”) tidak menjelaskan beberapa ciri-ciri penting emosi. Antara ciri penting emosi yang tidak diterangkan oleh teori evolusi termasuklah sebab emosi kegembiraan dialami semasa sesuatu situasi dan emosi kesedihan dalam situasi yang berlainan pula, serta implikasinya sekiranya kita mengalami suatu emosi. Teori ini juga tidak membincangkan hubungan atau perkaitan antara emosi dan tingkahlaku. Kelemahan teori-teori ini membawa kepada kewujudan teori-teori yang berkaitan dengan pengalaman emosi, iaitu teori fisiologikal, kognitif dan psikoanalitik (Teori FKP).

Teori-teori utama dalam pengalamam emosi bersetuju bahawa emosi mempunyai beberapa komponen. Komponen-komponen ini termasuklah perasaan subjektif, penilaian kognitif, rangsangan fisiologi, ekspresi emosi secara motor menerusi pergerakan badan, dan kecenderungan motivasi berdasarkan keperluan untuk bertindak mengikut emosi. Namun demikian, teori-teori ini berbeza dari segi kepentingan relatif setiap komponen serta susunan komponen-komponen ini dalam urutan peristiwan yang membawa kepada suatu respon emosi. Ketiga-tiga teori ini juga mempunya perbezaan dari segi asas fisiologi (teori fisiologi), peranan kognitif dalam emosi (teori kognitif) dan peranan ketidaksedaran (teori psikoanalitik).

Ahli-ahli teori yang berorientasikan fisiologi menekankan bahawa emosi adalah hasil utama otak dan sistem saraf. Asal usul teori-teori ini adalah pemerhatian terhadap reaksi fiologikal seseorang individu terhadap rangsangan. Pendekatan utama dalam teori ini termasuklah teori James Lang (James Lang Theory), teori Cannon-Bard (Cannon-Bard theory) dan teori psikobiologikal (Psychobiological Theory). Teori James Lang merupakan teori psikologi pengalaman emosi yang tertua yang dirumuskan oleh William James pada tahun 1884. Teori ini mendapat sokongan pada daripada Carl Lange pada tahun 1887. Teori ini dinamakan teori James-Lang atas sumbangan William James dan Carl Lange. Hipotesis yang dikemukan dalam teori ini ialah reaksi fisiologikal terhadap sesuatu rangsangan menjana emosi. Menurut teori ini, emosi merupakan persepsi diri terhadap perubahan fisiologi yang berlaku di dalam badan. Misalnya, apabila saya dikejutkan oleh seseorang, jantung saya akan berdebar-debar dan badan saya berpeluh. Seterusnya, saya akan berasa takut.

Namun demikian, Walter Cannon telah mengkirtik teori yang dikemukan oleh Willian James and Carl Lange. Cannon tidak bersetuju dengan teori tersebut kerana sistem organ yang menghasilkan reaksi emosi bertindak balas secara perlahan terhadap sesuatu rangsangan. Beliau menyatakan bahawa reaksi emosi berlaku secara rapid terhadap rangsangan dan respons fisiologi adalah terlalu lambat untuk memulakan suatu respons emosi. Beliau menerangkan secara mendalam bahawa organ dalaman seperti jantung dan perut tidak boleh menghasilkan emosi yang berbagai. Malahan, parameter seperti kadar denyutan jantung, tekanan darah dan fungsi penghadaman tidaklah berupaya untuk menentukan jenis emosi yang dialami oleh seseorang. Kenyataan beliau disokong lagi dengan bukti bahawa manusia yang sistem sarafnya dicederakan secara proses surgical masih boleh mengalami pelbagai emosi yang berbeza. Oleh itu, Cannon dan Phillip Bard mengemukakan Teori Cannon-Bard (Cannon Bard Theory). Mereka menyatakan bahawa rangsangan dalaman dan luaran membawa kepada impuls deria yang dihantar ke pusat pemprosesan maklumant badan, iaitu otak dan sensasi emosi dihasilkan. Dengan itu, sesuatu rangsangan akan membawa kepada respons badan dan sensasi emosi secara serentak. Persepsi emosi akan mempengaruhi reaksi individu tersebut terhadap rangsangan itu.

Teori fsikobiologikal yang dikemukakan oleh Jack Panksepp (1982, 1992) pula menyatakan bahawa emosi asas adalah berkaitan dengan litar saraf yang spesifik. Beliau menerangkan wujudnya sistem kawalan di dalam otak yang dikaitkan dengan 4 emosi asas, iaitu emosi takut, emosi marah, emosi panic and emosi jangkaan. Keempat-empat emosi asas ini boleh digabungkan dalam pelbagai jenis kombinasi untuk menghasilkan emosi sekunder lain. Panksepp juga menjelaskan bahawa bahan kimia saraf yang spesifik berkemungkinan dikaitkan dengan sistem kawalan emosi. Walau bagaimanapun, teori Panksepp ini mendapat beberapa kritikan. Sebagai contoh, Magda Arnold (1960) menyoal asas yang dipraktikan oleh Panksepp untuk mengenal pasti lokasi spesifik setiap litar emosi.

Seterusnya, kami didedahkan dengan teori-teori kognitif. Teori ini merupakan hasil pengubahsuaian teori fisiologi oleh ahli-ahli teori moden. Mereka bersetuju bahawa kognitif atau pemikiran mempunyai peranan primari dalam menjana dan mengawal emosi. Teori-teori ini mengandungi 4 bahagian. Bahagian pertama ialah Teori Penglabelan Kognitif Schachter’s (Schachter’s Cognitive Labelling Theory) yang menyatakan bahawa penglabelan kognitif mempunyai peranan yang besar dalam menentukan emosi yang akan dialami. Bahagian kedua pula ialah teori kesilapan atribut (Misattribution Theory). Teori ini memberi penerangan mengenai kesilapan manusia dalam mengaitakan sesuatu emosi dengan punca wujudnya emosi tersebut. Bahagian ketiga meliputi teori pemindahan pengujaan (transfer of excitation). Penjelasan terhadap cara-cara pengujaan boleh dipindah dari satu punca ke punca yang lain telah diberikan menerusi teori ini. Bahagian yang terakhir ialah teori penilaian kognitif. Teori ini menyatakan bahawa proses pemikiran bertanggungjawab untuk menjana respons emosi serta tingkah lakunya. Respons emosi dan tingkah laku yang berkaitan ini adalah bertujuan untuk menghadapi suatu situasi emosi.

Teori-teori fisiologi dan teori-teori kognitfi yang dikemukan oleh ahli-ahli teori yang berorientasikan fisiologi dan kognitif memberi tanggapan bahawa emosi itu adalah suatu proses manusia sedar. Namun demikian, teori-teori ini mendapat tentangan hebat dari Sigmund Freud. Beliau membuat hipotesis bahawa pengalaman emosi adalah satu proses yang berlaku tanpa manusia menyedarinya. Beliau berpendapat bahawa emosi, motif dan ingatan lama yang manusia tidak sedar wujud boleh mempengaruhi tingkah laku manusia. Kebanyakan pengalaman emosi semasa zaman kanak-kanak adalah secara tidak sedar. Pengalaman secara tidak sedar ini merupakan punca utama emosi dan motivasi.

Penekanan teori ini adalah kepada emosi-emosi negatif terutamanya emosi bimbang dan marah. Manusia mempunyai emosi bimbang dan marah kerana berlakunya konfilk di paras tidak sedar diri. Contohnya, seseorang individu mungkin akan rasa bimbang dan marah tanpa sebab yang tertentu.

Setelah kami diberi pendedahan terhadap teori FKP, kuliah kami diteruskan dengan perbincangan konsep emosi dan motivasi. Konsep ini membolehkan kami memahami definisi sebenar motivasi serta perhubungan di antara emosi dan motivasi. Emosi bolehlah positif atau negatif tetapi emosi tidak pernah menjadi neutral. Motivasi pula lazimnya difikirkan sebagai kajian dari segi aspek tingkah laku. Seperti yang pernah dipelajari, emosi terdiri daripada empat komponen, iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku yang berkaitan. Dengan itu, emosi lebih luas maknanya dari perasaan. Menurut Baron & Logan, 1993, emosi juga tidak dapat dipisahkan dari motivasi. Walau bagaimanapun, emosi tidaklah menjadi motivasi dalam semua keadaan dan tidak semua pendorong (motivasi) adalah berasaskan emosi.

Sekian, terima kasih.