Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Pada minggu-mingu sebelum ini, kita telah berbincang mengenai emosi, sikap positif dan negatif. Pada kali ini,saya ingin berkongsi pendapat mengenai kaitan antara emosi dan motivasi. Apakah perbezaan antara emosi dan motivasi? Pada mulanya saya agak keliru apabila emosi dan motivasi dipisahkan kepada dua bahagian. Ini kerana sekiranya kita berbalik kepada maksud emosi(menurut Kleinginna &Kleinginna 1981) ianya terdiri daripada empat komponen penting iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan juga tindak balas.

Melalui penulisan saya yang pertama, saya ada menyatakan bahawa “empat komponen in saling berkait antara satu sama lain. Sekiranya tiada kempat-empat komponen ini expressi seseorang tidak dapat dizahirkan dengan sempurna. Sebagai contoh, Ahmad akan menduduki peperiksaan akhir semester tidak lama lagi. Perasaan yang wujud pada masa itu adalah risau dan gemuruh. Kemudian diikuti dengan proses kognitif iaitu sedar akan perasaan risau dan cuba mencari punca serta berfikir untuk menyelesaikan masalah ataupun kerisauan yang sedang dialaminya. Setelah itu, perubahan fisiologi. Jantung akan berdegup laju dan perhatiannya terhadap perkara lain akan terjejas dan ini boleh membawa kepada ‘stress’. Akhir sekali adalah tingkah laku ataupun respons yang dilakukan oleh Ahmad. Ahmad akan berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh untuk memastikan dia dapat menjawab peperiksaan dengan lancar”.

Jika kita lihat dari sudut motivasi pula, ianya dikaitkan dengan tingkah laku setelah menerima rangsangan dari dalam mahupun luar. Perkara ini sekiranya dilihat dengan sekali pandang ianya bertindih dengan maksud emosi kerana emosi juga membawa kepada maksud tingkah laku. Namun jika kita lihat dari sudut yang berbeza, kita boleh membezakan mengenai emosi dan motivasi. Emosi bermula dengan perasaan iaitu merangkumi sikap positif dan negatif. Kesan daripada perasaan itu, maka tubuh badan akan memberi tindak balas mengikut emosi yang telah dizahirkan. Ianya berbeza dengan motivasi dimana pada kebiasaannya ia disebabkan kemahuan manusia melalui apa yang dilihat dan ianya bukan bermula dengan sesuatu perasaan. Sebagai contoh, Ali melihat kejayaan Abu dan menjadikannya sebagai pendorong untuk dia berusaha bersungguh-sungguh untuk turut berjaya sama seperti Abu. Motivasi selalunya bermula melalui pemerhatian seseorang dan kemudiannya berfikir bahawa apa yang diperhatikan boleh membantunya untuk menjadi lebih baik.

Disebabkan oleh, emosi dan motivasi mempunyai kesinambungan yang sama iaitu tingkah laku, ianya dapat ditakrifkan bahawa emosi tidak dapat dipisahkan daripada motivasi. Mengikut Lang et al,1992; emosi bertindak sebagai motivasi kepada perubahan tingkah laku dan motif boleh menjadi emosional. Sebagai contoh, marah dan benci(sikap negatif) terhadap seseorang akan melahirkan respon seperti motif pembunuhan. Hal ini bermaksud perasaan negatif terhadap orang A akan memotivasikan orang B untuk melakukan pembunuhan. Manakala perasaan sayang juga akan memotivasikan seseorang itu untuk mengambil berat tentang pasangannya seperti bertanya khabar, menelefon dan juga memberi hadiah.

Walau bagaimanapun, tidak semua keadaan melibatkan emosi dan motivasi. Ada juga beberapa keadaan dimana emosi tidak berkait dengan motivasi seseorang. Sebagai contoh ialah pemakanan. Pada kebiasaannya pemakanan seseorang tidak melibatkan emosi. Hal ini kerana makan merupakan sesuatu yang sudah menjadi lumrah hidup kita. Manusia memerlukan makanan untuk menghasilkan tenaga. Oleh itu, tidak kira sama ada emosi pada ketika itu positif ataupun negatif,aspek pemakanan tetap sama. Seseorang akan bermotivasi untuk makan apabila dia berasa lapar. Namun, pada pendangan saya emosi juga boleh mempengaruhi pemakanan seseorang. Ada dikalangan kita apabila berada dalam keadaan emosi positif ataupun negative, mereka akan mengubah cara pemakanan sama ada dengan menambah quantiti makanan ataupun memilih jenis makanan tertentu. Ada juga yang hilang selera makan apabila berada pada emosi tertentu.

Pada awal penulisan ini, saya banyak menekankan perkaitan antara emosi dan motivasi secara am. Saya rasa sudah sampai masanya saya menerangkan secara mendalam tentang konsep motivasi. Motivasi merupakan sesuatu yang menyebabkan perubahan tingkah laku dan ianya terjadi sama ada melalui aspek dalaman ataupun luaran. Melalui aspek dalaman dan luaran, motivasi dilihat sebagai ‘drive’(aspek dalaman) dan ‘incentive’(aspek luaran). ‘Drive’ merupakan satu istilah yang digunakan bagi menunjukkan bahawa motivasi untuk melakukan tindak balas adalah disebabkan oleh faktor dalaman iaitu tubuh badan manusia. Contoh yang mudah adalah apabila sesorang itu demam atau suhu badan meningkat. Hal ini kerana apabila kita demam, otak kita akan memberi isyarat kepada tubuh badan untuk menyejukkan badan dengan mengeluarkan peluh. Kesan daripada tindak balas badan mengeluarkan peluh, kandungan air dalam badan akan berkurang. Oleh itu, perubahan dalaman ini akan memotivasikan kita untuk minum air dengan lebih banyak.

Dari aspek ‘incentive’(luaran) pula, keadaan persekitaran yang akan memotivasikan seseorang dan akhirnya mempengaruhi tindak balasnya. Sebagai contoh, Ahmad mengalami masalah kewangan. Disebabkan oleh masalah itu, dia bekerja keras demi menampung kehidupan sehariannya. Melalui cerita pendek tadi, masalah kewangan merupakan keadaan persekitaran. Akibat daripada keadaan itu, motivasi yang dapat ditunjukkan adalah dengan bekerja lebih bersungguh-sungguh. Oleh itu, motivasi memberi kesan kepada tindak balas seseorang.
Terdapat juga konsep lain yang melambangkan motivasi. Antaranya ialah Instinct, Arousal dan Humanistic Theory. Instinct merupakan tindak balas yang berlaku secara semula jadi ataupun sudah menjadi kebiasaan. Pertelingkahan antara haiwan demi mendapatkan makanan merupakan salah satu contoh untuk menggambarkan maksud ‘instinct’. Selain daripada itu, penghasilan sarang burung juga adalah kesan daripada motivasi untuk berlindung. Dari segi aspek arousal pula, motivasi seseorang disebabkan oleh kemahuan untuk mengekalkan sesuatu yang sudah sedia ada dan juga perasaan ingin tahu menyebabkan individu bertindak sedemikian.

Humanistic Theory merupakan motivasi yang mempunyai peringkat yang bermula dengan perubahan tingkah laku demi memenuhi kehendak fizikal hinggalah ke aspek keseluruhan. Teori ini lebih mudah difahami melalui rajah pyramid. Pyramid ini boleh dibahagikan kepada tiga komponen besar. Komponen pertama yang berada pada lapisan yang paling bawah merupakan kehendak asas iaitu fizikal. Kehendak asas merupakan kehendak untuk mendapatkan makan, tempat tinggal dan juga keselamatan. Perkara ini merupakan sesuatu yang mudah untuk dituntuti oleh semua manusia. Peringkat yang seterusnya ialah aspek psikologi. Pada bahagian ini ia lebih menjurus kepada perasaan seseorang dan juga hubungan sesama manusia. Peringkat yang paling tinggi iaitu kemuncak adalah kehendak dalaman. Ia bermaksud ketahanan diri untuk menerima segala masalah dan bagaimana individu menilai dan menghargai dirinya.

Secara tuntas, motivasi memainkan peranan yang penting dalam membentuk tingkah laku seseorang. Emosi dapat mempengaruhi motivasi seseorang dan seterusnya membawa kepada tindak balas terhadap stimulus yang diberi. Emosi yang negative akan membuatkan seseorang untuk mempunyai motivasi yang akan membawa individu kearah tindak balas negatif dan juga sebaliknya. Akhir kata, saya berharap agar maklumat mengenai emosi dan motivasi ini dapat memberi serba sedikit panduan kepada para pembaca. Marilah kita bersama-sama memotivasikan diri kearah positif!

Wassalam.