A131746 Lee Weng Hoong LJ04 Dunia Emosi Begitu Menarik

Salam sejahtera.

Sekali lagi saya telah menghadiri kuliah Pengurusan Emosi pada 17 Ogos 2011. Melalui 4 kuliah ini, saya berasa lebih mengenali emosi saya sendiri dan dalam proses mempelajari cara-cara menguruskan emosi saya dengan efektif. Dalam kuliah tersebut, Dr. Zamri telah memberikan taklimat kepada kami tentang tugasan 2, yakni tugasan berkumpulan. Saya berasa agak menarik dan berminat terhadap tugasan 2 kerana kami dapat mencari maklumat yang lebih terperinci dan meneroka sesuatu isu tentang emosi.

Kembali kepada topik kuliah, kami telah didedahkan 2 topik yakni “Emosi & Motivasi” dan teori FKP pada minggu ini. Saya akan bermula dengan topik Emosi & Motivasi. Motivasi secara umumnya membicarakan aspek tingkahlaku kita yang mempunyai arah dan yang memberangsangkan. Emosi seperti yang telah diketengahkan sebelum ini merangkumi 4 komponen: perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku berkaitan. Emosi padahal adalah lebih luas daripada perasaan. Menurut Baron dan Logan (1993), emosi tidak dapayt dipisahkan daripada motivasi. Lang et al (1992) pula mengetengahkan bahawa emosi merupakan motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional. Mengambil pengalaman saya sebagai contoh, saya pernah dipilih oleh guru saya untuk menyampaikan ucapan awam semasa perhimpunan. Emosi saya semasa saya mengetahui bahawa saya terpilih adalah takut. Saya takut akan berbuat salah dan memalukan diri serta guru saya. Justeru itu, emosi takut ini telah menjadi motivasi saya untuk berlatih berucap dengan lebih kerap lagi. Walaubagaimanapun, bukan semua emosi dapat dijadikan sebagai motivasi dan bukan semua motivasi berasaskan emosi. Sebagai contoh, motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh berasaskan keazaman seseorang untuk mencapai kecemerlangan. Terdapat beberapa teori yang menerangkan bagaimana emosi boleh menjadi motivasi kepada sesuatu perbuatan, antaranya termasuklah James-Lange Theory, Cannon’s Challenge dan Two-Factor Thoery. Dalam proses emosi membawa kepada sesuatu tingkahlaku, keadaan rangsangan itu melibatkan perubahan muka dan badan, rangsangan otak, penilaian kognitif, perasaan subjektif dan kecenderungan untuk bertindak. Istilah motivasi pula didefinisikan sebagai “the aspect of selection of processes” oleh Bickhard (1997). Motivasi merupakan jangkaan sesuatu yang kita berasa mungkin dicapai atau mungkin berlaku. Menurut Mook (1996), motivation is what makes a person do one thing rather than another. Oleh itu, sekiranya kita berasa kita boleh berjaya, kita akan mempunyai motivasi untuk mengejar kejayaan yang kita berasa mungkin itu. Terdapat beberapa konsep dan teori dalam topik “Emosi & Motivasi” ini, misalnya konsep ‘motivation’, ‘drive’ dan ‘incentive’. Drive merupakan keadaan dalaman yang mengaktifkan sesuatu tingkahlaku untuk memulihkan homeostasis badan kita. Pusat yang mengawal drive terletak di hypothalamus dalam otak kita. Incentive pula merupakan gol luaran yang menjadi motivasi kepada tingkahlaku kita. Contoh incentive ialah financial incentive, moral atau coercive incentive. Tamsilannya, jikalau pelajar yang mendapat lulus dalam peperiksaan akan memperoleh ganjaran sebanyak RM2000, pelajar, khususnya mereka yang kurang berada akan melipatgandakan usaha mereka. Motivasi pula merupakan konsep yang lebih luas maknanya, yakni faktor luaran mahupun dalaman yang mengakibatkan sesuatu tingkahlaku. Konsep lain dalam teori motivasi termasuk konsep ‘instinct’, ‘arousal’, ‘humanistic theory’ ataupun motivasi yang tidak disedari. Konsep instinct mengutarakan kecenderungan sedia ada yang tidak memerlukan pembelajaran dan berkaitan dengan reaksi yang tetap kepada sesuatu rangsangan. Sebagai contoh, binatang bergaduh kerana motivasi secara instinct. Arousal pula ialah keadaan waras dari segi fisiologi dan psikologi. Manusia dimotivasikan untuk mengekalkan tahap rangsangan (arousal) yang optima. Teori Humanistic yang diutarakan oleh Abraham Maslow pula membicarakan bahawa motif dan motivasi adalah dibahagikan kepada beberapa tahap daripada keperluan asas kepada keperluan psikologikal dan self-fulfillment needs. Secara keseluruhannya, emosi menekankan rangsangan manakala motivasi menekankan tindakan. Dengan adanya rangsangan, barulah motivasi timbul.

Pada hemat saya, emosi sememangnya berkait rapat dengan motivasi. Misalnya, apabila kita cinta akan seseorang, kita mungkin terdorong oleh emosi positif untuk berubah menjadi seorang insan yang lebih baik. Inilah merupakan perkara positif tentang emosi dan motivasi. Namun, apabila kita mengalami emosi negatif misalnya marah, kita mungkin terdorong untuk melakukan sesuatu yang tidak baik, misalnya mencela dan mengeluarkan kata-kata kasar malah bergaduh. Oleh itu, apabila kita menyedari bahawa emosi dapat mempengaruhi motivasi dan tingkahlaku kita, haruslah kita bijak mengawal emosi negatif kita supaya kita tidak terdorong untuk melakukan sesuatu yang negatif.

Topik yang seterusnya ialah teori fisiologikal, kognitif dan psikoanaliktik (FKP). Teori-teori ini adalah pelengkap bagi evolutionary theory yang menunjukkan beberapa kekurangan atau kelemahan. Teori evolusi tidak menjawab soalan kenapa kita berasa gembira dalam sesuatu keadaan dan bukannya yan lain, apa proses yang berlaku ketika kita mengalami emosi, bagaimana kognisi dikaitkan dengan pengalaman emosi yang subjektif dan apa perkaitan antara emosi dengan tingkahlaku. Teori-teori FKP bersetuju bahawa emosi mempunyai komponennya, tetapi teori FKP berbeza dari aspek kepentingan relative komponen-komponen itu dan urutan kejadian yang berlaku ketika berasa sesuatu emosi. Ahli-ahli teori yang mengemukakan teori fisiologikal menekankan bahawa emosi adalah secara asasnya hasil daripada sistem saraf. Terdapat 3 teori dalam teori fisiologikal: teori James-Lang, teori Cannon-Bard dan teori psychobiological. Teori James-Lang diformulasi oleh William James pada 1884 dan disokong oleh Carl Lange pada 1887. Justeru, wujudlah teori yang dikenali sebagai The James-Lang Theory. Prinsip teori ini adalah bahawa emosi dirangsangkan oleh reaksi fisiologikal terhadap sesuatu rangsangan. Misalnya, apabila kita terlihat orang kesayangan kita, badan kita akan berlaku proses-proses fisiologi yang berlainan oleh sebab rangsangan visual. Proses fisiologi misalnya rembesan hormon dopamine (pleasure-inducing) akan membawa kepada emosi gembira. Dengan kata-kata lain, perubahan fisiologi dapat dizahirkan melalui emosi.

Namun begitu, teori Cannon-Bard mengkritik teori James-Lang dengan menyatakan bahawa proses fisiologi dalam sistem badan yang dikatakan mencetuskan responsi emosi itu bertindak amat perlahan terhadapp rangsangan. Namun, emosi yang kita rasai terhadap sesuatu rangsangan itu adalah lebih cepat daripada proses perubahan fisiologi. Menurut Walter Cannon, perubahan fisiologi adalah terlalu lambat untuk mencetuskan perasaan emosi. Buktinya termasuklah bahawa manusia yang sistem sarafnya diceraikan masih dapat berasa emosi. Justeru, dalam teori Cannon-Bard, rangsangan dalaman dan luaran akan menyebabkan penghantaran sensory impulse ke bahagian yang tertentu dalam otak kita dan seterusnya menghasilkan emosi. Perspektif terhadap emosi ini seterusnya mempengaruhi reaksi seseorang itu terhadap rangsangan. Saya bersetuju dengan teori ini. pada hemat saya, teori ini lebih logik dan menyakinkan kerana emosi sepatutnya dihasilkan oleh impulse daripada hypothalamus dan limbic system. Emosi tidak membawa kepada perubahan fisiologi, tetapi impulse dari otak yang mengakibatkan perubahan fisiologi itu. Emosi hanya datang lebih awal daripada perubahan fisiologi. Misalnya, apabila kita berjumpa dengan orang kesayangan kita, kita akan berasa gembira pada saat pertama mata kita melihat orang itu dan seterusnya barulah perubahan fisiologi berlaku dalam tubuh kita.

Selanjutnya, teori psikobiologikal dibangunkan oleh Jack Panksepp yang mengaitkan emosi asas dengan litar neural yang spesifik. Panksepp mengetengahkan 4 emosi asas yakni fear, rage, panic dan expectancy. Keempat-empatnya interak antara satu sama lain untuk menghasilkan emosi lain. Menurut Panksepp, dopamine dikaitkan dengan sistem expectancy dan acetylcholine berkaitan dengan sistem rage. Pada 1998, Panksepp mengenalpasti sistem emosi asas berdasarkan struktur dalam limbic system. Misalnya, seeking system dengan general motivation, seeking, expectancy; rage system dengan anger; dan lust system dengan sexuality. Antara kritikan terhadap teori psikobiological termasuk kritikan oleh James Averill (1982) yang menyatakan bahawa litar neural yang disifatkan sebagai ‘hard-wired’ mungkin tidak cukup fleksible untuk berfungsi sebagai asas neurologikal untuk penghasilan emosi.

Secara konklusinya, emosi dapat dihasilkan menerusi cara yang lain mengikut teori yang lain. Namun, perkara yang penting adalah menyedari bahawa emosi dapat menjadi motivasi kepada tingkahlaku kita. Dengan mengenali emosi kita, bolehlah kita menguruskan emosi kita dengan pandai dan efektif. Selamat maju jaya dalam mengawal dan menguruskan emosi kita, wahai kawan-kawan! =)

Advertisements