Assalamualaikum dan selamat sejahtera, kali ini merupakan entri jurnal yang keempat saya selepas menghadiri kuliah kelima pada pada 17 Ogos yang lalu.Pada kuliah kali ini, pada permulaannya Dr Ahmad Zambri menerangkan tentang tugasan berkumpulan yang akan dinilai sebagai tugasan kedua kami setelah usai tugasan pertama kami iaitu penulisan jurnal yang kelima. Kami akan membuat kerja lapangan bagi mengaplikasikan kefahaman kami sepanjang mengikuti kuliah Pengurusan Emosi sejak 20 Julai yang lalu.
Setelah penerangan terperinci tentang tugasan kedua ini, kami kemudiannya mempelajari tentang “ Emosi dan Motivasi”.Seperti yang pernah kami pelajari sebelum ini, emosi boleh menjadi motivasi.Baron & Logan (1993) misalnya mengatakan bahawa emosi tidak dapat dipisahkan dari emosi, sementara Lang et al (1992) pula berpendapat emosi sebagai motivasi kepada tingkahlaku dan motif boleh menjadi emosional. Misalannya seseorang yang tidak tahu bermain bola, apabila diejek sebagai kaki bagku akan berasa sedih dan dan malu (emosi).Emosi yang terhasil ini boleh menjadi motivasi bagi dirinya untuk mencari jurulatih untuk mengajarnya bermain bola dan berlatih bermain bola.Ini adalah antara analogi ringkas yang mengaitkan antara emosi dan motivasi.
Emosi boleh ditentukan berdasarkan tonenya sama ada positif atau negatif.Tiada yang semulajadi atau natural. Walau bagamanapun, menurut beberapa rujukan melalui internet, emosi juga boleh hadir dalam dua bentuk, yakni yang pertama, emosi yang secara relatif menjadi latar belakang atau mewarnai penampilan kita.Ini dikenali sebagai mood . Sementara yang kedua, adalah emosi spesifik, seperti gembira, sedih, terkejut dan sebagainya sewaktu seseorang menghadapi satu-satu kejadian. Perbezaan antara kedua-dua jenis emosi ini adalah, mood tidak begitu terikat dengan kejadian-kejadian yang berlaku di lingkungan seseorang. Kita mungkin berasa bersemangat dan putus asa dalam jangka masa yang berbeza antara satu individu dengan individu yang lain namun ini tanpa alasan yang jelas .Sebaliknya emosi spesifik lebih singkat masanya, dan lebih terikat dengan situasi-situasi spesifik yang menyebabkan bangkitnya emosi tersebut; misalnya emosi sedih setelah kehilangan orang tersayang dan emosi gembira yang hadir selepas menerima hadiah atau anugerah.
Emosi juga dikaitkan sebagai tindak balas adaptif badan kepada kejadian yang berlaku di sekeliling seseorang dan membantu dalam menghubungkan kita dengan orang lain.
Apakah pula motivasi? Motivasi boleh dijelaskan sebagai aspek tingkah laku yang mendorong seseorang untuk melakukan sesuatu.Menurut pembacaan saya juga,sumber motivasi boleh dikelaskan kepada dua iaitu yang pertama, sumber intrinsik iaitu sumber dalaman seseorang dan yang kedua ialah sumber ekstrinsik yang berada di luar kawalan seseorang. Sumber intrinsik tercetus apabila tindak balas anggotanya selari dengan fungsi perilaku tadi.Misalnya seseorang yang makan kerana lapar.Sementara yang kedua pula tercetus apabila tingkah laku yang dihasilkan tidak berhubungan secara langsung dengan fungsi pergerakan tersebut.Misalnya, seseorang yang makan bukan kerana berasa lapar namun kerana menghargai pelawaan tuan rumah . Walau bagaimanapun, bukan semua motivasi didasarkan kepada emosi.Misalnya kejadian pembunuhan boleh tercetus atas faktor dendam atau marah ( emosi), namun pembunuhan ini juga boleh terjadi kerana faktor lain misalnya untuk memiliki harta benda yang dimiliki oleh mangsa.
Menurut Bikhard(1997), motivasi ialah aspek pemilihan dalam satu-satu proses.Motivasi itu sendiri adalah gabungan apa-apa yang mungkin terjadi. Terdapat beberapa istilah yang berkait rapar dengan motivasi dalam membincangkan tentang teori dan konsep motivasi.Antaranya ialah drive atau pemandu iaitu faktor dalaman yang mengaktifkan perlakuan untuk mengurangkan keperluan dan mengembalikan homeostasis atau keseimbangan.Menurut teori ini, manusia dikatakan melakukan sesuatu perbuatan untuk mengurangkan tekanan dalaman yang disebabkan oleh tidak tercapainya beberapa keperluan tubuh.Sebagai contoh, seseorang yang minum air untuk mengurangkan tekanan dalaman (haus).Namun begitu teori ini tidak dapat menerangkan banyak perilaku lain yang langsung tidak saling berkait dengan tuntutan untuk memenuhi keperluan fisiologikal tubuh; seseorang mungkin makan bukan kerana perasaan lapar.
Teori lain ialah teori insentif yang merujuk kepada apa-apa faktor luaran yang menyebabkan seseorang untuk melakukan atau menolak sesuatu perbuatan.Misalnya adalah seseorang yang sedang bekerja terdorong untuk melakukan pekerjaannya kerana dia tahu dia akan memperoleh gaji sebagai ganjarannya.
Dalam teori Instinct , motif dikatakan adalah semulajadi .Seseorang termotivasi untuk berkelakuan dalam cara-cara tertentu kerana mereka telah ‘ diprogram’ untuk berkelakuan sebegitu.Sebagai contoh, burung-burung yang akan terbang ke selatan pada musim sejuk, mereka tidak diajar tetapi ini adalah corak tingkahlaku yang ada sejurus lahir.William James telah menyenaraikan beberapa naluri manusia antaranya malu, marah, takut, cinta, bermain, keterkaitan dan kesederhanaan.Namun, masalah dalam teori ini ialah teori ini tidak benar-benar menerangkan satu-satu tingkahlaku, sekadar hanya menggambarkan.
Seterusnya, kami juga didedahkan dengan teori arousal yang mengatakan bahawa manusia cenderung untuk melakukan perbuatan yang akan sama ada meningkatkan atau merendahkan tahap kesedaran mereka agar sentiasa berada di tahap optimum.Misalnya apabila tahap kesedaran menurun, seseorang akan melakukan perbuatan yang akan meningkatkan tahap kesedaran mereka seperti menonton televisyen atau berjoging, sementara sekiranya tahap kesedaran mereka meningkat, mereka akan melakukan aktiviti yang dapat menurunkan tahap kesedaran mereka seperti bertafakur atau membaca buku.
Teori terakhir yang kami pelajari ialah Humanistic Theory of Motivation yang telah dicadangkan oleh Abraham Maslow. Manusia dikatakan mempunyai beberapa sebab-sebab kognitif untuk menjalankan pelbagai tindakan.Motivasi-motivasi yang berbeza telah diletakkan dalam tingkatan yang berbeza-beza , bermula dari keperluan fisiologikal hingga memenuhi keinginan diri (self fulfillment).Manusia akan bermotivasi untuk memenuhi keperluan asas biologi seperti makanan dan tempat berlindung, keselamatan, kasih dan keyakinan.Sebaik sahaja keperluan di peringkat bawah ini dipenuhi, motivasi utama akan teralih kepada tahap yang lebih tinggi ,iaitu self-actualization atau keinginan untuk memenuhi potensi seseorang individu.Teori ini menekankan idea bahawa setiap seorang daripada kita mampu untuk menyumbang kepada masyarakat dan menjadi orang yang disukai dalam masyarakat dengan syarat keperluan mereka dipenuhi.Melalui pembacaan , saya mendapati sesuatu yang menarik tentang teori ini iaitu Maslow tidak mengasaskan teori ini berdasarkan kajiannya terhadap seseorang yang berpenyakit mental yang mana kebanyakan pengetahuan tentang ilmu psikologi ditemui, sebaliknya Maslow telah menjalankan kajian ke atas orang yang berjaya dalam hidupnya dan menyumbang kepada masyarakat.
Terdapat empat tugasan bagaimana seseorang boleh menyerlahkan potensi diri mereka, yang pertama adalah mencari dan memahami diri sendiri.Ini melibatkan kemahiran intrapersonal seperti kebolehan untuk menangani perasaan, mengawal kemarahan dan kesedihan diri selain mampu untuk membina pendirian yang teguh.Kedua, adalah mengekspresikan diri seseorang yang melibatkan pula kemahiran interpersonal atau perorangan. Seseorang mesti tahu bagaimana tabiat , kehendak dan motivasi orang lain bagi memastikan tindakan mereka berkesan. Tugasan yang ketiga yang harus dipenuhi adalah mencari kesukaan (passion) seseorang dan mula bertindak. Yang terakhir ialah mencari kekuatan atau bakat tertentu yang kita miliki dan gunakan kelebihan ini untuk menyelesaikan masalah.Seseorang yang berjaya bukanlah mereka yang mempunyai sedikit masalah dan banyak kelebihan, namun mereka adalah orang yang mempunyai banyak masalah namun berjaya menggunakan kelebihan yang mereka miliki dengan sebaik-baiknya untuk mengatasi masalah yang sedang dihadapi. Poin utama dalam mengakhiri tajuk kuliah ini ialah emosi menekankan kesedaran, manakala motivasi menekankan tindakan
Kesimpulannya, teori-teori ini menerangkan dengan jelas bagaimana emosi dan motivasi saling berkait.Emosi sekiranya mampu diuruskan dengan baik pasti mampu menjadi motivasi untuk kita mencapai apa yang kita inginkan dan kehidupan yang lebih baik seperti yang ditunjukkan oleh Pensyarah Universiti Malaya , Halim Yazid.

Advertisements